Thursday, June 21, 2012

Bank jual RM2.5b NPL kepada syarikat tempatan

INSTITUSI perbankan tempatan hanya menjual kira-kira RM2.5 bilion pinjaman tidak berbayar (NPL) dalam tempoh dua hingga tiga tahun lalu, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. Beliau berkata, NPL itu pula dijual kepada kepada syarikat tempatan sejajar dengan garis panduan yang ditetapkan bank pusat.

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BankjualRM2_5bNPLkepadasyarikattempatan/Article
Published: Jun 21, 2012

Bank jual RM2.5b NPL  kepada syarikat tempatan
RAJA Dr Nazrin Shah merasmikan kampus baru INCEIF dan ISRA 
sambil diperhatikan Zeti (dua dari kanan) di Kuala Lumpur, semalam.

“Kami telah menyediakan garis panduan yang membolehkan bank komersial untuk menjual sebahagian daripada NPL masing-masing dan garis panduan ini dipatuhi sepenuhnya oleh mereka (pihak bank),” katanya kepada media selepas perasmian kampus baru Universiti Global bagi Kewangan Islam (INCEIF) dan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa bagi Kewangan Islam (ISRA) di Kuala Lumpur, semalam.

Perasmiannya disempurnakan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah yang juga Duta Kewangan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).

Zeti berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar baru-baru ini yang melaporkan bahawa sejak 2005, bank tempatan telah menjual NPL berjumlah RM60 bilion.

Memetik sumber, akhbar itu melaporkan NPL itu dijual kepada agensi pemungut hutang yang dikuasai pemegang saham asing.

Terdahulu Bank Negara dalam kenyataannya menjelaskan perkara itu berkata, bank boleh menjual NPL masing-masing sebagai sebahagian daripada amalan pengurusan risiko.

Katanya, penjualan NPL itu bertujuan memberikan fleksibiliti kepada bank untuk menguruskan portfolio pinjaman dengan lebih berkesan bagi memaksimumkan langkah pemulihan yang diambil bagi melindungi kepentingan pendeposit.

“Bagaimanapun sebarang tindakan pemulihan yang diambil perlu berlandaskan undang-undang.

“Bank dibenarkan menjual NPL masing-masing kepada institusi bukan bank jika penjualan ia dibuat sejajar dengan keperluan Garis panduan tentang Penjualan /Pembelian Pinjaman Tidak Berbayar oleh Institusi Perbankan yang dikeluarkan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989,” katanya.

Mengikut garis panduan itu, bank hanya boleh menjual NPL kepada syarikat yang diperbadankan dalam negera dan mempunyai saham majoriti oleh pemegang saham tempatan kerana tertakluk kepada had ekuiti asing sebanyak 49 peratus.

Bank juga dikehendaki mengambil langkah perlu untuk memaklumkan penjualan NPL itu kepada peminjam, kata kenyataan Bank Negara itu.

Sementara itu, Zeti berkata, kadar faedah tempatan masih berada pada paras sesuai kerana pertumbuhan ekonomi domestik kekal kukuh di sebalik kedudukan ekonomi global yang tidak menentu.

Beliau berkata, inflasi semasa juga berada pada paras sederhana.

Bagaimanapun, katanya Bank Negara akan memantau rapi perkembangan yang berlaku dalam ekonomi global khususnya di Eropah.

Bank pusat itu akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bagi menetapkan dasar monetari semasanya pada 5 Julai ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif INCEIF, Daud Vicary Abdullah dalam ucapannya berkata INCEIF dan ISRA berharap dapat meraih pengiktirafan global bagi aspek perkhidmatan yang disediakan meliputi kandungan program, kualiti pengajaran dan khidmat rundingan.

Beliau berkata, kedua-dua institusi ini akan terus memfokuskan kepada industri kewangan Islam selain merapatkan jurang antara ahli akademi dengan peserta industri dan memacu untuk mencapai tahap piawaian global dalam pendidikan kewangan Islam, latihan dan penyelidikan.

No comments: